Tanah runtuh Batang Kali: Kerajaan Selangor akan teliti semula garis panduan kawasan perkhemahan - Loy Sian
Fareez Azman
Disember 16, 2022 16:16 MYT
Disember 16, 2022 16:16 MYT
HULU SELANGOR: Kerajaan Negeri Selangor akan meneliti semula garis panduan kawasan tapak perkhemahan berhampiran dengan cerun dan sungai susulan tragedi Batang Kali yang mengorbankan 16 nyawa setakat ini.
Menurut Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian, perkara itu akan dilihat semula bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
"Apa yang berlaku di sini, walaupun kita tiada undang-undang khusus mengawal tapak perkhemahan di tepi cerun, tapi kita akan tengok balik.
"Kemungkinan kita akan buat satu garis panduan baharu. Kalau nak adakan tapak perkhemahan boleh, tapi kena ada jarak dengan cerun, yang ini berlaku terlalu dekat dengan cerun bila berlaku tanah runtuh tak dapat selamat dan lari langsung," katanya.
Tambah Loy Sian, siasatan awal mendapati kawasan terbabit mempunyai kebenaran merancang (KM) untuk pertanian, namun belum mendapati kelulusan untuk dijadikan pusat pelancongan.
"Kita dah lulus Kebenaran Merancang (KM)... dilanjutkan dua kali sebab dia (pengusaha) nak bentangkan (cadangan) tentang pembangunan pusat pelancongan.
"(KM) sudah dilanjut dua kali...sampai tahun depan. Tapi dia tak sempat buat projek ini sebab tiada kelulusan lagi.
"KM pertanian memang ada, sekarang tiada garis panduan tentang perkhemahan. Ini berlaku di tanah persendirian dan bukan berlaku di tanah hutan simpan... tapi di sekelilingnya adalah hutan simpan," katanya lagi.
Loy Sian berkata demikian ketika ditemui media di Balai Polis Hulu Yam pada Jumaat.
Beliau meluangkan masa kira-kira satu jam melawat mangsa-mangsa yang ditempatkan di balai berkenaan.