Tanah runtuh Batang Kali: Keadaan cuaca baik di sebelah petang, beri kelebihan pasukan SAR

Fareez Azman
Disember 23, 2022 16:38 MYT
Keadaan cuaca yang baik memberikan kelebihan kepada para petugas untuk menyelesaikan misi mencari yang memasuki hari kelapan hari ini. - Foto Astro AWANI
HULU SELANGOR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa yang masih lagi hilang dalam kejadian tanah runtuh di Father's Organic Farm, Batang Kali di sini dijangka berjalan lancar, susulan keadaan cuaca yang baik pada petang Jumaat.
Ia berbeza dengan situasi dua hari lalu apabila hujan lebat merencatkan operasi mencari baki mangsa yang masih hilang.
Namun hari ini, dilihat keadaan cuaca yang baik sekali gus memberikan kelebihan kepada para petugas untuk menyelesaikan misi mencari yang memasuki hari kelapan hari ini.
Sepanjang di lokasi, turut dilihat dua buah jengkaut tanah dikeluarkan daripada lokasi kejadian.
Menurut salah seorang petugas yang enggan dikenali berkata, pasukan SAR yakin mangsa ke 31 dan terakhir akan dapat ditemukan dalam masa terdekat.
Fokus pencarian ketika ini adalah di sektor C dan A.
Sehingga kini, 30 mangsa disahkan terkorban dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku awal pagi Jumaat lalu.
Manakala 61 lagi mangsa selamat dan seorang lagi mangsa iaitu seorang kanak-kanak lelaki masih hilang.
#tanah runtuh #batang kali #operasi sar #Mangsa terakhir
;