Tanah Runtuh Batang Kali: Jabatan Forensik HSB lengang sejak pagi tadi

Faris Danial Razi
Disember 19, 2022 16:41 MYT
Wakil-wakil media berhimpun di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh (HSB), hari ini. - Gambar Astro AWANI
SUNGAI BULOH: Misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali yang kini memasuki hari keempat masih belum membawa kepada sebarang penemuan baharu, setakat jam 4 petang Isnin.
Suasana di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh (HSB) pula dilihat lengang dan hanya pengamal media yang berada di pekarangan jabatan berkenaan sejak awal pagi ini.
Bahkan, tiada juga waris mangsa yang kelihatan berada di sini selepas kesemua 24 mayat yang ditemui dalam operasi SAR telah dituntut sebelum ini.
Semalam, kesemua 24 mangsa yang meninggal dunia dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm selesai dituntut oleh waris keluarga masing-masing.
Ia melibatkan empat jasad dewasa lelaki, 13 mayat dewasa perempuan, tiga kanak-kanak lelaki, tiga lagi kanak-kanak perempuan dan seorang bayi.
Setakat ini, seramai sembilan mangsa masih hilang dikhuatiri tertimbus dalam tanah runtuh, manakala 61 berjaya diselamatkan.
Dalam perkembangan sama, pihak polis sudah mengenal pasti lima daripada tujuh kenderaan yang berada di lokasi tragedi tanah runtuh ketika operasi SAR yang berlangsung pada Isnin.
“Operasi SAR yang dijalankan pasukan penyelamat bertugas berjaya menemui tujuh kenderaan dan lima daripadanya telah dikenal pasti pemiliknya.
“Dua kenderaan melibatkan mangsa yang masih hidup manakala dua mangsa yang telah meninggal dunia dan satu lagi milik mangsa yang masih hilang,” kata Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah.
#Tanah Runtuh Batang Kali #Jabatan Forensik #Hospital Sungai Buloh #Father's Organic Farm
;