Tanah runtuh Batang Kali: Hujan lebat, operasi SAR ditangguh sementara

Fareez Azman
Disember 23, 2022 17:59 MYT
Pada jam 5.40 petang (Jumaat), hujan lebat mula melanda lokasi insiden, sekali gus operasi SAR terpaksa dihentikan sementara demi keselamatan para petugas. - Foto Astro AWANI/Fareez Azman
HULU SELANGOR: Perubahan cuaca ekstrem pada sebelah petang sehubungan hujan lebat merencatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masuk hari kelapan di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali di sini.
Pada jam 5.40 petang (Jumaat), hujan lebat mula melanda lokasi insiden, sekali gus operas SAR terpaksa dihentikan sementara demi keselamatan para petugas.
Para pengamal media dilihat berteduh di khemah yang disediakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Setakat ini, tiada makluman mengenai penemuan mangsa terakhir iaitu seorang kanak-kanak lelaki.
Skop pencarian bagi operasi SAR yang masuk hari hari kelapan telah dikecilkan kepada beberap sektor termasuk sektor C, iaitu lokasi terakhir mangsa dipercayai berada.
Sehingga kini, lebih 70 peratus penggalian telah dilakukan di semua sektor sejak hari pertama yang merangkumi sektor A (Hill View), B (Farm View), C (River Side) dan D (Green House).
Pada Khamis Sinar Harian melaporkan, jumlah mangsa telah diisytiharkan semula secara rasmi seramai 92 orang daripada jumlah asal yang dianggarkan iaitu 94 individu.
#Tanah Runtuh Batang Kali #Father's Organic Farm #Jabatan Kerja Raya #pencarian mangsa kelapan
;