Tanah runtuh Batang Kali: Hari keempat SAR, tiada penemuan baharu

Fareez Azman
Disember 19, 2022 19:40 MYT
Suffian berkata, sehingga jam 6.30 petang tiada petunjuk baharu ditemui dalam operasi melibatkan 125 pegawai dan anggota pelbagai agensi yang mendapat bantuan 11 jengkaut itu.
HULU SELANGOR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sembilan mangsa yang masih hilang dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali-Goh Tong Jaya di sini, belum menunjukkan tanda positif hari ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah, berkata sehingga jam 6.30 petang tiada petunjuk baharu ditemui dalam operasi melibatkan 125 pegawai dan anggota pelbagai agensi yang mendapat bantuan 11 jengkaut itu.
"Setakat ini seramai 125 pegawai dan anggota terlibat sedang bertugas di tapak operasi dengan menggunakan kekuatan lebih kurang 11 buah jengkaut dan sembilan ekor anjing pengesan untuk mencari mangsa yang hilang.
"Setakat ini tiada perkembangan baharu, namun demikian kita akan bertungkus-lumus meneruskan operasi... pasukan mencari dan menyelamat tidak akan hilang keyakinan dan keletihan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Tambah Suffian, operasi akan diteruskan sehingga jam 4 pagi sekiranya keadaan cuaca baik.
LAPORAN KOMPREHENSIF TANAH RUNTUH BATANG KALI DI SINI
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor, berkata operasi SAR bukan hanya dilakukan di kawasan tanah runtuh, malah melibatkan kawasan sungai berhampiran.
"Tujuh anggota pasukan khas dikerahkan ke kawasan sungai berhampiran 'ground zero' untuk usaha mencari mangsa.
"Ini untuk pastikan betul-betul jika ada mangsa hanyut atau tersangkut di pokok. Bagaimanapun tinjauan mendapati tiada mangsa di kawasan itu," katanya pada sidang media.
Mengulas lanjut mengenai kaedah pencarian, tambah Hafisham, pihaknya terpaksa membuat laluan daripada batang pokok di lokasi kejadian untuk dilalui jengkaut.
Ia berikutan keadaan tanah yang lembut, menyukarkan jentera berat memasuki kawasan berkenaan.
"Seharian kita dah buat usaha pencariaan dan spot kita dah buat memenuhi keseluruhan tanah kita gali pun dah negatif dah sampai ke tanah asal, masih belum menemui apa-apa tanda berkaitan dengan mangsa.
"Tanah masih lembik, berlecak amat tinggi, kita terpaksa guna kaedah jadikan batang pokok sebagai lantai jentera berat sebab tanah semakin lembik, jentera mungkin akan terbenam," katanya lagi.
#tanah runtuh #batang kali #operasi sar #Penemuan baharu
;