Tanah runtuh Batang Kali: Hanya ucapan terima kasih mampu diungkap - Bapa mangsa
Bernama
Disember 23, 2022 06:20 MYT
Disember 23, 2022 06:20 MYT
ALOR GAJAH: Hanya ucapan terima kasih yang mampu diucapkan oleh Tai Seng Fui, 63, apabila empat ahli keluarganya berjaya ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR), walaupun dalam keadaan sudah tidak bernyawa.
Sebagai ayah kepada Tan Chang Lin, 35, beliau berkata dirinya masih dalam proses menerima hakikat kehilangan anak lelaki, menantu serta dua cucunya sekelip mata, selepas menjadi mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm yang berlaku pada Jumaat lepas.
"Terima kasih kepada semua yang membantu termasuk anggota polis yang melancarkan perjalanan mayat dari Kuala Lumpur, untuk upacara pembakaran pagi tadi," katanya ketika ditemui pemberita di Taman Machap Indah, Machap Baru di sini pada Jumaat.
Terdahulu, jasad Tan dan isterinya Yu Siew Pay, 34, serta dua anaknya Tai Jing Key, 7, dan Tai Jing Rou, 4, dibawa pulang ke Melaka dari Hospital Sungai Buloh sekitar 11.32 pagi semalam.
Jasad empat sekeluarga itu seterusnya di bawa ke Taman Peringatan Huai En, Jelutong, Batu Berendam bagi upacara pembakaran dan abunya dijangka dibawa pulang ke kediaman waris di Taman Machap Indah esok untuk penghormatan terakhir sehingga 29 Dis ini, sebelum disimpan di Taman Peringatan Eternal Berhad, Selandar, Jasin.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam hadir menziarahi kedua-dua keluarga mangsa dengan diiringi Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem dan Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Noordin dan Naib Pengerusi PKR Melaka Ginie Lim Siew Lin.
Tun Mohd Ali dan meluangkan masa hampir satu jam berjumpa dan bertanya khabar kedua-dua keluarga di samping turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga mangsa.
-- BERNAMA