Tanah runtuh Batang Kali: GPR kesan lima lokasi bendasing bawah runtuhan tanah - Bomba
Fareez Azman
Disember 19, 2022 22:13 MYT
Disember 19, 2022 22:13 MYT
HULU SELANGOR: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berjaya mengesan lima lokasi dipercayai mengandungi bendasing di bawah runtuhan tanah di tapak perkhemahan di Batang Kali di sini, pada petang Isnin.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor, kerja-kerja mencari dan menyelamat kini tertumpu di lima lokasi berkenaan.
"Operasi akan tetap berjalan kita akan jalankan juga pada malam ini dalam keadaan gelap.
"Kita akan meminimumkan jumlah keanggotaan, kita akan melakukan pencarian malam ini di hotspot yang telah dikenal pasti oleh pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dengan bantuan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
"Lima peralatan Ground Penetrating Radar (GPR) mendapati ada bendasing di bawah, jadi kita buat pencarian di kawasan tersebut malam ini nanti di sektor C ke A.
"Kita tidak gerakkan Unit Anjing Pengesan K9 sebab telah dibuat penandaan oleh JUPEM, lima unit GPR digunakan buat penandaan pada sebelah petang tadi," katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di lokasi kejadian pada malam Isnin.
Sehingga kini, sembilan mangsa masih lagi hilang dan operasi SAR yang masuk hari keempat diteruskan.