Tanah runtuh Batang Kali: Dua mayat ditemukan dipercayai ibu dan anak, angka korban 23
Hasimi Muhamad
Disember 17, 2022 15:32 MYT
Disember 17, 2022 15:32 MYT
HULU SELANGOR: Angka korban tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers' Organic Farm, Batang Kali di sini meningkat kepada 23 mangsa.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, ia susulan penemuan dua lagi mayat di lokasi kejadian kira-kira jam 1.05 tengah hari tadi.
Mayat ke-22 dan ke-23 katanya, ditemukan di sektor pencarian A iaitu tapak Hillview berhampiran kolam air.
“Jarak (dua mayat) ditemukan lebih kurang 800 meter daripada mayat terakhir semalam.
“Masa ditemukan kedudukan mayat adalah dekat dan dipercayai ibu dan anak. Kita gunakan jentera berhampiran kolam air, tarik lumpur dan tanah sebelum mayat timbul.
“Semasa pencarian, mangsa ditemukan di kedudukan sekitar tiga kaki dengan kedudukan tanah paling hujung,” katanya dalam sidang media di lokasi tanah runtuh di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Norazam berkata ketebalan tanah di kawasan Hillview dianggarkan 20 hingga 30 kaki.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah berkata, kedua-dua mangsa dipercayai dalam lingkungan usia 30-an dan tujuh tahun.
Dengan penemuan terbaharu itu Suffian menambah 10 individu masih lagi hilang setakat ini.
“Kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat,” ujarnya.
Seramai 94 individu terlibat dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku pada awal pagi Jumaat.
#Tanah Runtuh Batang Kali
#Father's Organic Farm
#Norazam Khamis
#tapak Hillview Father's Organic Farm