Tanah runtuh Batang Kali: Dapatkan maklumat lanjut dari Ibu Pejabat Polis Hulu Selangor - Nadma
Faida Rahim
Disember 16, 2022 17:10 MYT
Disember 16, 2022 17:10 MYT
KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan ahli keluarga dan waris yang mahu mendapatkan sebarang maklumat terkini mengenai kejadian tanah runtuh di Batang Kali awal hari ini boleh menghubungi terus Ibu Pejabat Polis Hulu Selangor.
Setakat 6 petang tadi, seramai 19 mangsa disahkan maut manakala 14 masih hilang.
“Keluarga/waris kepada mangsa yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh Jalan Genting Highland-Batang Kali pagi ini, mohon hubungi talian berikut untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan mangsa-mangsa yang terlibat.
“Hubungi ibu pejabat polis Hulu Selangor iaitu DSP Reduan 013- 876 7700 atau Inspektor Azizi- 019- 558 0496 untuk maklumat terkini,” kata Nadma.
Dalam kejadian yang berlaku awal pagi tadi, dianggarkan seramai 100 orang menjadi mangsa tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan berhampiran Father Organic Farm di Batang Kali.