Tanah runtuh Batang Kali: Bomba temui 4 petunjuk baharu
Bernama
Disember 18, 2022 21:45 MYT
Disember 18, 2022 21:45 MYT
BATANG KALI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor hari ini menemui empat petunjuk baharu yang berkemungkinan ada mayat tertimbus di lokasi tanah runtuh di kawasan tapak perkhemahan di laluan Batang Kali-Genting Highlands di sini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Datuk Norazam Khamis berkata penggunaan radar penembusan tanah (GPR) itu, sangat membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam mengecilkan skop lokasi pencarian di semua sektor.
"GPR berjaya mengesan objek disyaki tubuh manusia di bawah tanah, dan setakat ini membantu kenal pasti 14 titik.
"Bagaimanapun, apabila penggalian dibuat pasukan tidak menemui sebarang badan mangsa. GPR tersebut mungkin telah kesan objek-objek lain di point tersebut. Namun, penggunaan GPR sangat membantu operasi SAR, dengan mengecilkan kawasan pencarian dalam sektor ditetapkan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah berkata tujuh kenderaan yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di sini, pada Jumaat lepas telah direkod nombor plat pendaftaran bagi mengenal pasti pemiliknya.
Beliau berkata polis akan meneliti kesemua nombor plat berkenaan untuk melihat jika ia berkait dengan sembilan mangsa yang masih hilang.
"Saya akan semak dengan pemilik dan saudara mereka yang mempunyai kaitan dengan kereta-kereta yang terlibat," katanya pada sidang media di lokasi kejadian hari ini.
Beliau berkata usaha mengesan mangsa yang dikhuatiri tertimbus pada hari ini menemui jalan buntu dan usaha mengesan mereka akan berterusan.