Tanah runtuh Batang Kali: Angka korban meningkat ke 16 orang, 17 masih hilang
Afiezy Azaman
Disember 16, 2022 14:35 MYT
Disember 16, 2022 14:35 MYT
HULU SELANGOR: Angka korban akibat kejadian tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya meningkat kepada 16 mangsa, setakat jam 1 petang, pada Jumaat.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, 17 mangsa dikhuatiri masih tertimbus manakala 61 lagi telah diselamatkan.
"Fokus utama ketika ini adalah untuk menyelamatkan saki-baki mangsa yang masih terperangkap, ini adalah waktu-waktu yang sangat penting.
"Setakat jam 12 tengah hari, seramai 628 anggota penyelamat daripada pelbagai agensi sedang bertungkus-lumus mengesan mangsa yang masih hilang," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, pada Jumaat.
Kor Ming berkata, kerajaan akan melalukan segala usaha untuk menyelamatkan mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan.
Awal pagi tadi, Astro AWANI melaporkan seramai 94 pengunjung tapak perkhemahan Father Organic Farm terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, pada jam 2 pagi.