Tanah Runtuh Batang Kali: Anggota SAR pengsan

Hasimi Muhamad
Disember 24, 2022 14:30 MYT
Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa kejadian tanah runtuh di Batang Kali dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut. - Gambar Astro AWANI
HULU SELANGOR: Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kejadian tanah runtuh di Batang Kali dilaporkan pengsan.
Individu terbabit dari APM Sabak Bernam dipercayai keletihan susulan cuaca panas semasa operasi SAR yang memasuki hari kesembilan, hari ini.
Mangsa telah dibawa ke Hospital Selayang sekitar pukul 2 petang bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Setakat ini, operasi SAR yang bersambung sekitar pukul 8 pagi tadi masih belum menemukan mangsa yang hilang.
Mangsa terakhir dipercayai seorang kanak-kanak lelaki.
Operasi SAR hari ini melibatkan 80 keanggotaan terdiri daripada 50 pasukan SAR daripada pelbagai agensi; 10 ekor anjing unit pengesan (K9); serta sembilan buah jengkaut.
Operasi pencarian tertumpu di sektor A (Hillview), dipercayai lokasi keberadaan mangsa yang masih hilang.
Dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali awal pagi 16 Disember lalu, seramai 30 mangsa disahkan terkorban setakat ini.
Sementara, 61 individu dilaporkan selamat.
#anggota SAR pengsan #Tanah Runtuh Batang Kali #Father's Organic Farm #30 mangsa terkorban
;