Tanah runtuh Batang Kali: Anggota bomba sebak keluarkan mayat kanak-kanak terakhir

Sinar Harian
Disember 24, 2022 06:40 MYT
Mayat terakhir mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm ditemukan anggota operasi SAR petang semalam. --fotoBERNAMA
HULU SELANGOR: Seorang anggota Bomba dan Penyelamat, AG Mohd Nasharudin Awang Nayan sebak apabila mengeluarkan mayat kanak-kanak lelaki yang juga mangsa terakhir tragedi tanah runtuh di Father's Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali, Hulu Selangor pada Sabtu.
AG Mohd Nasharudin berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tidak menyangka akan menemui mayat tersebut di lereng bukit, memandangkan tumpuan pencarian adalah di atas dan bawah lereng sektor A (Hillview).
"Salah seorang pegawai Bomba dan Penyelamat yang berada di lereng bukit sedang memantau jengkaut, sebelum ternampak air mengalir di lereng bukit itu.
"Beliau telah memanggil saya bersama rakan sepasukan untuk menggali kawasan itu dengan menggunakan penyodok dengan cangkul," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Sabtu.
BACA: Tanah Runtuh Batang Kali: Mayat mangsa terakhir dijumpai
Mayat terakhir tragedi Batang Kali ditemukan
AG Mohd Nasharudin yang juga anggota Bomba dari Balai Bomba Petaling Jaya berkata, pasukan SAR kemudian terjumpa beg tidur pada kedalaman tanah 1.5 meter pada jam 4.53 petang tadi.
"Kami berasa sebak dan lega apabila terjumpa mayat kanak-kanak itu lengkap berpakaian dalam keadaan sempurna, namun sudah mula mereput," katanya. - Sinar Harian
#batang kali #tanah runtuh #Father's Organic Farm #bomba sebak
;