Tanah runtuh Batang Kali: Anggota APM cedera ketika operasi SAR

Bernama
Disember 19, 2022 23:56 MYT
Anggota APM terbabit cedera ringan di bahagian lutut, setelah terjatuh ke dalam tanah berselut. - Gambar fail/ Bernama
BATANG KALI: Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di sini, mengalami kecederaan dan kini sedang menerima rawatan.
APM Selangor dalam kenyataan malam ini memaklumkan Prebet (PA) Erzvicly Fazikhan Zakariah cedera ringan di bahagian lutut, setelah terjatuh ke dalam tanah berselut.
"Erzvicly Fazikhan mengalami kecederaan itu sewaktu menarik keluar kakinya, kerana terjatuh ke dalam selut.
"Tahap kesihatan anggota amat dititikberatkan ketika menjalankan tugas atau sebarang operasi," menurut kenyataan itu.
LAPORAN KOMPREHENSIF TANAH RUNTUH BATANG KALI DI SINI
APM merupakan antara lima agensi penyelamat terlibat dalam operasi SAR mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Gohtong Jaya di sini selain Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).
Operasi SAR yang sudah memasuki hari keempat itu diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, dengan sehingga kini 24 mangsa disahkan terkorban, manakala sembilan lagi masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa yang terlibat.
-- BERNAMA
#tanah runtuh #batang kali #anggota cedera #operasi sar
;