Tanah runtuh Batang Kali: Aktiviti bukan anjuran sekolah, tujuh guru antara terlibat - PIBG

Umavathi Ramayah
Disember 16, 2022 19:34 MYT
Menurutnya, dia hanya mengetahui mengenai perkhemahan itu awal pagi tadi apabila mendapat panggilan daripada suami mangsa yang memaklumkan isterinya terperangkap dalam insiden tanah runtuh itu. - Foto Astro AWANI
SUNGAI BULOH: DiPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), SJKC Mun Choong, Jalan Ipoh, U Chin Ong memberitahu, sekolah tidak dimaklumkan mengenai penganjuran perkhemahan di Father's Organic Farm di Jalan Batang Kali - Gohtong Jaya, Hulu Selangor.
Menurutnya, dia hanya mengetahui mengenai perkhemahan itu awal pagi tadi apabila mendapat panggilan daripada suami mangsa yang memaklumkan isterinya terperangkap dalam insiden tanah runtuh itu.
Berdasarkan rekod awal, beliau berkata, sebanyak tujuh guru wanita bersama 16 lagi ahli keluarga dan rakan mereka menyertai perkhemahan yang sepatutnya berakhir jam 10 pagi hari ini.
“Ini bukan aktiviti sekolah, saya dimaklumkan mereka menyertai perkhemahan pada Rabu lalu dan sepatutnya check out pukul 10 pagi hari ini,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh, di sini pada Jumaat.
Chin Ong menambah, setakat ini, dua guru ditemui selamat manakala nasib lima lagi guru masih tidak diketahui setakat pukul 6.30 petang tadi.
[LAPOR LANGSUNG] Tanah runtuh Batang Kali: Angka korban meningkat ke 19 orang, 14 dikhuatiri hilang
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan berkenaan akan diteruskan selama 24 jam.
Tragedi Batang Kali | Perkembangan terkini tanah runtuh setakat jam 6:30 petang
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, bagaimanapun operasi berkenaan akan bergantung situasi dan keadaan semasa.
"Sekiranya hujan turun, operasi akan dihentikan serta-merta namun setakat ini ia masih diteruskan dan anggota juga bersilih ganti sehinggalah baki 14 mangsa ditemui.
"Kita telah bersedia untuk meneruskan operasi pada waktu malam dan segala aset dan bentuk pencahayaan juga telah disediakan," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, pada Jumaat.
#tanah perkhemahan Father's Organic Farm #Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh #U Chin Ong #PIBG SJKC Mun Choong
;