Tanah runtuh Batang Kali: 9 mangsa masih gagal ditemukan, jumpa peralatan khemah milik mangsa

Umavathi Ramayah
Disember 20, 2022 19:16 MYT
Operasi SAR akan terus tertumpu ke Sektor C dengan kekuatan 150 pegawai dan anggota, dua anjing dari unit K9. - Sumber foto Jabatan Penerangan Malaysia
HULU SELANGOR: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Sektor C (river side) menemukan peralatan khemah dipercayai milik mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Jalan Batang Kali-Gohtong, di sini.
Namun Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, penggalian lanjut di lokasi berkenaan, pihaknya tidak menemui sebarang mangsa.
“Tengah hari tadi, pasukan kita ada petanda yang memberi semangat seperti tong, selimut dan peralatan khemah tapi bila buat pengalian, hasilnya negatif,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian di sini pada Selasa.
Wan Md Razali memberitahu, pada ketika ini operasi SAR akan terus tertumpu ke Sektor C dengan kekuatan 150 pegawai dan anggota, dua anjing dari unit K9.
IKUTI LAPORAN KOMPREHENSIF TRAGEDI TANAH RUNTUH BATANG KALI DI SINI
Menurutnya, berdasarkan laporan yang dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR) tiada pergerakan tanah pada cerun-cerun tanah pada Selasa melainkan sedikit pergerakan setempat pada di kawasan-kawasan tertentu yang tidak membahayakan.
Setakat jam 6.30 petang (Selasa), kedudukan sembilan mangsa yang dikhuatiri hilang masih gagal dikesan.
#Father's Organic Farm #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #operasi sar #unit k9
;