Tanah runtuh Batang Kali: 6 daripada 21 mangsa meninggal dunia dikenal pasti - NADMA
Astro Awani
Disember 17, 2022 14:21 MYT
Disember 17, 2022 14:21 MYT
KUALA LUMPUR: Enam daripada 23 mangsa yang meninggal dunia dalam insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali di sini, telah dikenal pasti melalui proses pengecaman oleh waris atau melalui ujian cap jari.
Dalam satu kenyataan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan, proses bedah siasat dan pengecaman mayat yang lain masih dijalankan.
Lima dari enam mangsa yang meninggal dunia adalah wanita, manakala seorang lagi merupakan kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun.
Daripada lapan mangsa yang menerima rawatan di hospital, tiga telah dibenarkan pulang manakala lima lagi sedang menerima rawatan di hospital.
Tiga mangsa yang dibenarkan pulang itu menerima rawatan di Hospital Kual Kubu Bharu, Selangor, manakala empat mangsa masih dirawat di Hospital Selayang dan seorang lagi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Sehingga kini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) insiden tanah runtuh di Batang Kali masih diteruskan biarpun cuaca kurang baik.
Setakat ini, angka korban telah meningkat ke 23 orang.