Tanah runtuh Batang Kali: 30 pegawai APM WP dihantar bantu misi SAR

Adie Sufian Zulkefli
Disember 17, 2022 17:12 MYT
Effendy (kiri) berkata, operasi SAR yang telah memasuki hari kedua ini memerlukan tumpuan dan kudrat yang tinggi dari semua anggota SAR dan semua agensi yang terlibat. - Foto Astro AWANI
ALOR SETAR: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Wilayah Persekutuan mengerahkan hampir 30 anggotanya untuk membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor.
Pengarahnya, Kolonel (PA) Effendy Ali berkata, operasi SAR yang telah memasuki hari kedua ini memerlukan tumpuan dan kudrat yang tinggi dari semua anggota SAR dan semua agensi yang terlibat.
"Kita pesan dalam Monsun Timur Laut ini macam-macam boleh berlaku dan cuaca tidak menentu kalau boleh kita jangan adakan aktiviti luaran seperti ini.
"Hampir 30 anggota, sebab pekara ini dia berpanjangan. Ada syif-syif, kalau ikut diperlukan ramai (dalam SAR ini)," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bilik Gerakan CDERT Al Najah Negeri Kedah yang beroperasi di Taman Desa Baiduri Jalan Gangsa, hari ini.
[LAPOR LANGSUNG] Tanah runtuh Batang Kali: 2 lagi mayat ditemukan, angka korban meningkat kepada 23
Hadir sama Komandan CDERT Al Najah, PPj. Bersekutu (PA) Datuk Seri Ahamad Musa So dan Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Effendy menyifatkan kewujudan Bilik Gerakan CDERT Al Najah Negeri Kedah juga mampu menjadi contoh kepada CDERT lain di Malaysia.
Menurutnya, objektif penubuhan bilik gerakan ini adalah untuk dijadikan pusat pentadbiran bagi memudahkan segala pengoperasian dan pelaksanaan dalam kalangan ahli CDERT Al Najah tidak kira dari segi pelarasan sumbangan, bantuan kepada komuniti setempat serta bantuan sumber tenaga manusia kepada agensi yang lain.
Sebagai rekod bilik gerakan tersebut telah beroperasi pada Jun 2022 dan dianggotai oleh seramai 16 ahli yang berdaftar serta diselia oleh Kapten Bersekutu (PA) Noraileen Ong Abdullah yang merupakan Pengerusi CDERT Al Najah Kedah.
#tanah runtuh #batang kali #APM #operasi mencari dan menyelamat
;