Tanah runtuh, banjir lumpur di Jalan Gua Musang-Lojing

Muhafandi Muhamad
Januari 3, 2021 00:37 MYT
Kenderaan pacuan empat roda yang dilaporkan terbalik susulan insiden banjir lumpur.
GUA MUSANG : Hujan lebat yang berterusan menyebabkan berlakunya runtuhan tanah di Jalan Gua Musang-Lojing di kilometer 92 di Gua Musang, Kelantan, sekali gus mengakibatkan banjir lumpur.
Keadaan itu memaksa laluan kawasan tersebut ditutup kepada semua pengguna jalan raya yang menuju ke Cameron Highlands, Pahang, Ipoh, dan Perak.
Insiden banjir lumpur juga menyebabkan beberapa kenderaan terkandas berpunca daripada sisa lumpur yang mengandungi batu dan kayu yang menembusi laluan bagi kedua-dua arah.
Tinjauan Astro AWANI mendapati terdapat beberapa kenderaan yang mengalami kerosakan akibat daripada kejadian berkenaan.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan Sik Choon Foo, kejadian tersebut berlaku pada jam 3.30 petang Ahad akibat hujan lebat.
“Laluan yang terjejas akibat lumpur adalah sepanjang dua kilometer dan terdapat kenderaan pacuan empat roda terbalik manakala sebuah lagi kenderaan di Lorong bertentangan,” katanya kepada Astro AWANI.
Bagaimanapun menurutnya, kejadian tersebut tidak melibatkan kawasan perkampungan Orang Asli yang berada di kawasan Tanah Tinggi Lojing.
#Gua Musang #Cameron Highlands #banjir #banjir lumpur #Jalan Gua Musang-Lojing #Pahang #Ipoh #Perak
;