Tanah runtuh Ampang Jaya: Lima rumah terjejas, 12 penduduk berpindah - Polis

Umavathi Ramayah
Mac 31, 2022 15:42 MYT
Mohamad Farouk Eshak berkata, hasil siasatan awal mendapati rumah berkenaan dibina secara haram berdekatan sungai dan lereng bukit.- Gambar IPD Ampang Jaya
AMPANG JAYA: Sejumlah lima buah rumah di dua lokasi berasingan di Ampang Jaya di sini terjejas akibat tanah runtuh ekoran hujan lebat petang semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, bagaimanapun tiada kehilangan nyawa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang yang melibatkan 12 mangsa.
Kesemua mangsa katanya, berjaya melarikan diri sebaik menyedari berlakunya tanah runtuh.
Beliau memberitahu, meskipun kerajaan tempatan menyediakan penempatan sementara namun kesemua mangsa mengambil keputusan untuk tinggal di rumah saudara mereka.
Katanya, dalam kejadian pertama di Lot 18196 Kampung Kemensah Hulu Klang yang melibatkan empat buah rumah hanya dua buah rumah berpenghuni sementara dua lagi kosong.
"Rumah pertama diduduki enam rakyat Indonesia berstatus penduduk tetap, yang berusia lima hingga 41 tahun.
"Rumah kedua pula diduduki dua warga emas berusia 67 dan 68 tahun yang juga berstatus penduduk tetap, sementara dua buah rumah lagi adalah kosong dan tidak didiami oleh sesiapa.
"Kedua-dua rumah yang dihuni ini rosak akibat ditimpa tanah runtuh manakala dua lagi rumah hanya terjejas namun tidak tertimbus," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mohamad Farouk memberitahu, hasil siasatan awal mendapati rumah berkenaan dibina secara haram berdekatan sungai dan lereng bukit.
Menurutnya, kawasan bukit ditebas untuk aktiviti berkebun dan beberapa rumah dibina di kaki bukit untuk disewakan.
Sementara itu dalam satu lagi kejadian yang melibatkan sebuah rumah bernombor 9A, Jalan Kolam Air Panas, Kampung Warisan, Taman Melawati katanya, dihuni oleh sepasang suami isteri bersama dua anak mereka.
"Dalam kejadian ini tiada sebarang kerosakan berlaku, cuma hanya sisa runtuhan terkena kaki lima belakang rumah.
"Pihak polis telah pergi ke tempat kejadian dan mendapati ia melibatkan sebuah rumah dan tidak mengalami sebarang kerosakan," ujarnya.
Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan bersama pihak jurutera Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mendapati, kejadian tersebut disebabkan kerja-kerja membaik pulih jalan menuju ke Empangan Klang Gate.
"Oleh kerana hujan yang turun terlalu lebat menyebabkan air hujan telah memabawa sisa pembinaan tersebut sehingga berlimpah ke belakang rumah," jelasnya.
#tanah runtuh #hujan lebat #kawasan cerun #Polis Diraja Malaysia #Ampang Jaya #Kemensah
;