Tanah runtuh Ampang: 15 rumah di Taman Bukit Permai 2 disah tidak selamat diduduki
Ridauddin Daud
Januari 9, 2023 19:43 MYT
Januari 9, 2023 19:43 MYT
AMPANG JAYA: Kerajaan Negeri Selangor akan meminta penduduk 15 rumah yang terletak di atas cerun di Taman Bukit Permai 2 di sini, untuk berpindah kerana kawasan itu diklasifikasikan sebagai tidak selamat.
Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, pengesahan itu hasil penilaian teknikal dilakukan di kawasan berkenaan yang turut melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor.
Menurutnya, penduduk masih belum dimaklumkan berhubung perkara itu namun beliau memberi jaminan mereka akan diberitahu dalam masa terdekat.
"Tempat ini tidak selamat dihuni kerana pertamanya berlaku kerosakan yang teruk pada struktur bangunan.
"Kena faham, mereka ini berkongsi tapak di kawasan 15 buah rumah ini. Sebarang pergerakan di tanah itu, semuanya akan terkesan.
"Memang ada kesan tadi saya tengok, keretakan yang besar-besar yang memang sebenarnya tidak sesuai dihuni lagi. Jadi memang bahayakan kedudukan mereka.
"Walaupun dah stabil keadaan cerun ini tapi rumah mereka telah terkesan dengan keadanan ini maka didapati tidak boleh dihuni, tidak sesuai dihuni lagi dan perlu berlaku kekosongan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat lokasi kejadian di sini pada Isnin.
Jelasnya, isu tersebut akan dibawa ke dalam Mesyuarat Exco Negeri pada Rabu ini selain beberapa perkara lain berkaitan cerun yang akan turut dibincangkan.
"Status (kawasan tidak selamat) ini baru dapat tadi, akan dibawa ke mesyuarat Exco dan ada lagi keputusan besar akan dibuat.
"Cuma pengosongan itu perlu disegerakan. Itu yang kita kena buat keputusan dulu," ujarnya.
Dalam pada itu, mengulas keadaan cerun yang runtuh pada Mac tahun lepas, beliau memaklumkan ia sudah stabil dan kerja-kerja menstabilkannya berada pada tahap 80 peratus.
"Kawasan di bawah ini (lokasi runtuhan lama), tiada pergerakan tanah dikesan. Siap lagi 20 peratus, Insya-Allah akan selamat.
"Cuma rumah yang terlibat, kerjaan akan teliti tuntutan mereka dan bantu dari segi sumbangan dan sebagainya," ujarnya.
Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada Mac lepas meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.