Tanah runtuh akibat hujan lebat, paip pecah di Cameron Highlands

Bernama
Mei 25, 2019 14:18 MYT
Hujan lebat berterusan sejak malam tadi menyebabkan dua kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan Ringlet. -Foto JBPM
Hujan lebat berterusan sejak malam tadi menyebabkan dua kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan Ringlet, di sini, awal pagi ini, namun tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Ashari Abu Samah berkata insiden pertama berlaku berhampiran kawasan kebun di Jalan Ulu Merah, Ringlet, pada jam 6 pagi tadi dengan keluasan runtuhan dianggarkan setinggi 15 meter (m) dan 10m panjang.
"Selain hujan lebat, terdapat paip di kawasan kebun pecah sehingga menyebabkan tanah runtuh," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Berikutan itu, laluan ditutup sementara kepada semua jenis kenderaan dan pihak Jabatan Kerja Raya sedang giat membersihkan jalan, katanya.
Ashari berkata insiden kedua berlaku di Jalan Ringlet-Blue Valley berhampiran Kuari Batu Syarikat Perniagaan Nazri Ahmad kira-kira jam 9.30 pagi tadi.
Katanya, luas kawasan terlibat adalah 32m dan setakat jam 1 tengah hari ini hanya satu lorong dibuka untuk kenderaan dan kerja-kerja pembersihan masih dijalankan.
#Ashari Abu Samah #Cameron Highlands #hujan lebat #Jalan Ulu Merah #paip pecah #ringlet #tanah runtuh
;