Tanah runtuh: 52 penduduk diarah kosongkan kediaman

Bernama
Ogos 23, 2024 11:40 MYT
Keadaan di lokasi kejadian di Taman Bunga Raya, Jalan Genting Kelang-Kem Wardiburn, di Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR: Seramai 52 penduduk melibatkan 17 buah rumah teres di Taman Bunga Raya, Jalan Genting Klang berhampiran Kem Wardieburn diarahkan berpindah serta-merta susulan sebahagian dinding penahan tanah yang runtuh akibat hujan lebat, semalam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Mohamad Lazim Ismail berkata mangsa terdiri daripada 26 lelaki dan 26 wanita itu ditempatkan sementara sama ada di rumah keluarga terdekat, hotel ataupun ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) yang dibuka di Dewan Badminton Bunga Raya.
"Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, kita arahkan penghuni 17 buah unit rumah teres untuk keluar dan kosongkan kediaman masing-masing atas nasihat daripada pihak bomba kerana tempat itu berisiko untuk sementara waktu.
"Setakat ini, rumah yang didakwa terjejas semalam rupanya tidak terjejas dan ada lebih kurang dua kaki lagi dari kawasan runtuhan tetapi atas faktor tanah yang bergerak, kita arahkan pindah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Dang Wangi di IPD Dang Wangi, di sini hari ini.
Mohamad Lazim berkata pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyambung kerja-kerja pembersihan hari ini.
"Setakat ini, kita belum dapat lagi ukuran kawasan yang runtuh itu susulan keadaan gelap semalam yang tidak mengizinkan, termasuk memeriksa ketahanan tanah.
"Keadaan di sana sememangnya terkawal dari malam tadi kerana kita turut tempatkan balai polis bergerak di situ dan bomba juga sudah menutup jalan dari semalam dan kembali dibuka pagi ini, cuma akan tutup semula untuk DBKL sambung kerja pembersihan," katanya.
Tempoh evakuasi penduduk itu belum dapat ditentukan kerana perbincangan tentang kawasan berkenaan di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan, tambah beliau.
Pagi ini, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azry Akmar Ayob hadir menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Dang Wangi di IPD Dang Wangi di sini hari ini.
Penyerahan tugas itu di antara pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi Supt Nuzulan Mohd Din dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi baharu ACP Sulizmie Affendy Sulaiman.
Sebelum ini, Sulizmie Affendy berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah Perisikan/Siasatan Khas Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas Bahagian Wildlife Crime Bureau/ Perisikan dan Siasatan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman.
-- BERNAMA
#tanah runtuh #Taman Bunga Raya #arahan pindah #Jalan Genting Klang