Tanah runtuh: 4 pekerja Myanmar dikhuatiri maut tertimbus
Dewi Nur Harasha Alias
Jun 25, 2019 22:27 MYT
Jun 25, 2019 22:27 MYT
Empat pekerja asing warga Myanmar dikhuatiri maut setelah tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di sebuah tapak pembinaan di Jalan Tanjung Bungah, Pulau Pinang, malam ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Saadon Mokhtar yang mengesahkan kejadian berkata, panggilan berhubung perkara itu diterima pada jam 9.25 malam ini.
Ketika ini, usaha menyelamatkan mangsa sedang dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Terkini, Bernama memetik Saadon berkata, pihaknya telah menemui lokasi mangsa yang berada di bawah timbunan tanah.
"Setakat ini kita sudah menemui lokasi mangsa-mangsa di bawah timbunan tanah kira-kira 15 kaki dalam dan usaha mengeluarkan mereka sedang dilakukan," katanya.
Pulau Pinang menyaksikan rentetan kejadian tanah runtuh sejak beberapa tahun lepas.
Antara insiden besar ialah pada 19 Okt 2018, apabila hujan lebih 10 jam mengakibatkan tanah runtuh di tapak Projek Bukit Kukus pembinaan jalan raya berkembar menghubungkan Paya Terubong ke Relau.
Kejadian itu menyebabkan lebih 10 mangsa dikhuatiri tertimbus.
Terdahulu, pada 21 Okt 2017, berlaku kejadian runtuhan tanah di tapak projek pembinaan rumah mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah.
Kejadian berkenaan meragut nyawa 11 pekerja terdiri daripada seorang rakyat tempatan; lima Bangladesh; dua Indonesia; dua Myanmar dan seorang Pakistan yang ditimbus tanah lereng bukit yang runtuh.
#bomba
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#mangsa
#pekerja asing
#pulau pinang
#tanah runtuh
#Tanjung Bungah
#tapak pembinaan
#timbunan tanah
#warga myanmar