Tanah runtuh: 37 berjaya diselamatkan di tapak perkhemahan
Astro Awani
Disember 16, 2022 08:00 MYT
Disember 16, 2022 08:00 MYT
BATANG KALI: Seramai 37 individu berjaya diselamatkan dalam kejadian tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan di Batang Kali, pada awal pagi Jumaat.
Kejadian berlaku di tapak perkhemahan berhampiran sebuah ladang organik di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Genting Highland, Pahang.
Menurut laporan awal pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, 100 indvidu termasuk kanak-kanak berada di tapak tersebut semasa kejadian berlaku.
Pengarah JBPM Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.24 pagi sebelum menggerakkan anggota dan aset ke lokasi kejadian.
"Menurut laporan awal komander operasi, kejadian tanah runtuh berlaku di tepi jalan berhampiran 'Father's Organic Farm' dan telah menghempap tapak perkhemahan yang berada berdekatan dengan jalan.
"Ketinggian runtuhan dianggarkan setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan satu ekar," katanya.
Ketika ini kawasan berkenaan telah ditutup kepada orang awam dan dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus masih dijalankan.