Tanah Runtuh: 2 selamat 3 lagi hilang di Aceh, Indonesia

Bernama
Oktober 29, 2023 07:45 MYT
Usaha mencari dan menyelamat mangsa-mangsa yang hilang dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Sumatera-Aceh, Bandar Subulussalam, diteruskan di bawah penyelarasan BPBD Subulussalam. - Foto BERNAMA/Badan Nasional Penanggulangan Bencana
JAKARTA: Seramai dua individu berjaya diselamatkan manakala tiga lagi masih hilang dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di jalan Sumatera-Aceh di Bandar Subulussalam, Wilayah Aceh, pada Jumaat malam.
Kejadian di Jalan Lintas Medan berhampiran Kampung Lae Ikan dalam daerah Penanggalan berlaku berikutan hujan lebat pada kira-kira pukul 8 malam waktu tempatan, menurut agensi mitigasi bencana Indonesia.
Seorang jurucakap agensi bencana daerah (BPBD) tempatan, Cut Anita berkata tiga individu yang hilang itu ialah dua orang awam dan seorang pegawai polis dari Penanggalan.
"Usaha mencari dan menyelamat mangsa-mangsa yang hilang ini diteruskan di bawah penyelarasan BPBD Subulussalam," menurutnya dalam satu kenyataan.
Serpihan tanah runtuh yang menghalang jalan telah dibersihkan manakala pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati semasa memandu ketika cuaca hujan kerana risiko tanah runtuh.
Berdasarkan ramalan cuaca agensi meteorologi (BMKG) pada Ahad, cuaca di bandar itu dijangka mendung.
Bagaimanapun, hujan lebat diramalkan pada sebelah petang dengan potensi ribut petir pada sebelah malam.
Agensi itu juga menggesa pihak berkuasa tempatan dan penduduk supaya sentiasa berwaspada kerana potensi hujan lebat yang boleh mengakibatkan banjir, banjir kilat dan tanah runtuh.
-- BERNAMA
#tanah runtuh #hujan lebat #Indonesia #banjir
;