Tanah runtuh: 110 penumpang kereta api terkandas di Terowong Dambai selamat pulang

Mirlen Axtius
Oktober 11, 2022 19:24 MYT
Kereta api yang berjaya dikeluarkan selepas terkandas di landasan Terowong Dambai ditempatkan di Stesen Keretapi Kawang.- Astro AWANI
PAPAR: Seramai 110 penumpang kereta api yang terkandas akibat tanah runtuh di landasan Terowong Dambai, pada Isnin berjaya diselamatkan dan dihantar pulang.
Ketua Polis Daerah Papar, Kamaruddin Ambo Sakka berkata, semua mangsa yang terkandas dibawa menggunakan kenderaan polis dan agensi lain untuk dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar bagi pemeriksaan kesihatan.
Katanya, semua penumpang dalam keadaan baik dan dihantar pulang ke kediaman masing-masing, kira-kira jam 10.30 malam.
"Kebanyakkan penumpang yang terkandas dalam kejadian itu tinggal di kawasan Papar dan Beaufort.
"Ada penumpang dihantar menggunakan kenderaan Majlis Daerah Papar dan ada juga diambil oleh keluarga mereka," katanya ketika dihubungi.
Jelas Kamaruddin, kerja-kerja pembersihan lokasi runtuhan masih giat dilakukan.
Katanya, gerabak kereta api sudah berjaya dikeluarkan dan dihantar ke Stesen Keretapi Kawang.
Sementara itu,Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) menerusi laman sosialnya memaklumkan, kerja-kerja menarik jentera lokomotif kereta api yang tersekat semalam berjaya dilaksanakan pagi tadi.
"Kerja pembersihan landasan yang tertimbus dengan tanah dan pokok juga sedang giat dijalankan oleh pasukan JKNS," katanya.
Tambahnya, operasi berkenaan dilaksanakan oleh kakitangan JKNS bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Daerah Papar.
Dalam kejadian sekitar jam 6.30 petang semalam, kereta api yang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Papar terkandas akibat tanah runtuh yang berlaku di landasan Terowong Dambai, di sini.
Susulan itu, JKNS memaklumkan lima perkhidmatan perjalanan yang dijadualkan hari ini dibatalkan sepenuhnya.
#tanah runtuh #kereta api #Terowong Dambai #Stesen Keretapi Kawang
;