Tanah RUMAWIP dijual murah sebab.... - Datuk Bandar DBKL
Harits Asyraf Hasnan
Jun 7, 2018 18:53 MYT
Jun 7, 2018 18:53 MYT
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengakui tanah bagi projek pembinaan Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) dijual dengan harga yang rendah.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz, berkata sekiranya tanah itu dijual dengan harga yang tinggi, pemaju tidak berkemampuan untuk melaksanakan projek rakyat tersebut.
"RUMAWIP ini adalah dasar di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan di mana ia adalah sebahagian insentif bagi memastikan harga rumah berada pada kadar yang rendah.
"Kalau kita bagi harga tanah yang tinggi, dia (pemaju) tak mampu buat. Bukan seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang mana kerajaan keluar belanja dan ia dijual terus kepada pembeli.
"Namun, bagi projek RUMAWIP, kerajaan tidak menyediakan duit. Jadi sebab itu kita kena jual tanah dengan harga yang rendah," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Selasa lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita dokumen yang dikaitkan dengan jualan 64 lot tanah milik DBKL antara 2014 dan 2018.
Bulan lepas, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mendakwa DBKL menjual 64 lot tanah bernilai RM4.28 bilion sejak 2013 tanpa tender terbuka.
Lip Eng berkata kebanyakan pembeli belum membayar premium tanah walaupun bangunan sudah dibina dan terjual, dan ramai juga belum membayar caj pembangunan.