Tanah perkuburan perang perlu diberi penghormatan tertinggi, bukan dirosakkan - MACV
Bernama
Januari 7, 2017 20:16 MYT
Januari 7, 2017 20:16 MYT
Tanah perkuburan perang perlu diberi penghormatan tertinggi dan bukannya dirosakkan, kata Persatuan Veteran Kaum Cina Tentera Darat Malaysia (MACVA).
Anggota jawatankuasa perhubungan awam MACVA Kapten (B) Dr Wong Ang Peng berkata perbuatan merosakkan tanah perkuburan perang sangat dibenci kerana ia memaparkan sikap tidak menghormati dan menghina anggota tentera yang sudah tiada.
"Tanah perkuburan perang merupakan tempat persemadian terakhir untuk pahlawan perang yang memberikan nyawa mereka untuk pembebasan dan kedaulatan negara, oleh itu ia mesti dihormati oleh setiap rakyat di negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai laporan berita baru-baru ini bahawa beberapa batu nisan di Tanah Perkuburan Perang Taiping, Perak, yang menjadi tempat persemadian tentera Perang Dunia Kedua, didapati dirosakkan dan pecah.
Wong berkata anggota MACVA sangat kecewa dengan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab
itu kerana sebagai veteran tentera, mereka menghargai pengorbanan yang dilakukan pejuang negara bagi memastikan rakyat terus hidup dalam aman dan damai.
"Orang ramai perlu sedar bahawa setiap wira perang dan veteran telah berkhidmat kepada raja dan negara dengan bangga dan gagahnya, justeru, tanah perkuburan perang wajar dijadikan sebagai warisan negara, satu lagi sejarah negara.
"MACVA menggesa pihak berkuasa tempatan agar menangkap pesalah dan menjatuhkan hukuman setimpal bagi mengelakkan kejadian vandalisme terhadap tanah perkuburan perang berlaku di masa hadapan," katanya.
-- BERNAMA