Tanah mendap: Kita tak pernah belajar daripada kesilapan lalu - Pakar geokejuruteraan
Israr Khalid
Januari 27, 2022 09:50 MYT
Januari 27, 2022 09:50 MYT
KUALA LUMPUR: "Kita memang tidak pernah belajar daripada kesilapan lalu, menjadi sebab mengapa saban tahun bencana terus berlaku."
Bencana memang selalu tidak dapat dijangka dan dielak, namun kata Prof Ir Dr Ramli Nazir lagi, kita seharusnya mengkaji dan memahami kegagalan lepas supaya ketidakpastian dalam berdepan dengan musibah di masa hadapan dapat dikurangkan.
Tegas Felo Kehormat, Pusat Geokejuruteraan Tropika (GEOTROPIK) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu, kita perlu untuk mempelajari semula cara kita menguruskan pembangunan dengan kesejahteraan alam supaya keseimbangan antara kedua-duanya dapat dikekalkan.
“Bencana ini berlaku tiba-tiba, kita tak tahu dan cara ia berlaku itu macam-macam. Antara satu dengan yang lain ada perbezaan puncanya.
“Kita cukup ramai pakar di Malaysia ini, dalam bidang tanah, struktur, geosains, geologi dan kalau kita tengok pandangan-pandangan mereka yang diberi setiap kali selepas bencana.
"Kita tak pernah nak ambil berat supaya ia boleh kita kumpulkan dan jadikannya satu pelajaran untuk mengatasi masalah-masalah lain pada masa akan datang.”
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian tanah mendap dekat Taman Equine, Seri Kembangan pada Selasa yang menurut penduduk setempat, aduan tentang rekahan di situ sudah dibuat lama tetapi tiada tindakan susulan daripada pihak berkuasa.
Tonton temu bual penuh bersama Prof Ramli dalam program Agenda AWANI dihoskan oleh Nazri Kahar, di sini: