Tanah mendap di Serdang: MBSJ pasang cerucuk besi elak runtuhan

Bernama
Januari 26, 2022 16:00 MYT
Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sejak malam tadi mula memasang cerucuk besi di tebing longkang besar berhampiran lokasi kejadian tanah mendap di Jalan LP 1A/2 Seri Kembangan. - Gambar BERNAMA
SERDANG: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sejak malam tadi mula memasang cerucuk besi di tebing longkang besar berhampiran lokasi kejadian tanah mendap di Jalan LP 1A/2, di sini.
Pegawai Daerah Petaling, Datuk Johary Anuar berkata, pemasangan cerucuk besi oleh kontraktor yang dilantik MBSJ itu adalah sebagai langkah keselamatan berikutan hasil pemantauan Jabatan Kejuruteraan MBSJ masih berlaku pergerakan tanah di lokasi berkenaaan.
"Pihak kontraktor datang melihat dan membuat prosedur memasang kepingan cerucuk besi di kawasan tanah mendap sebagai tembok penahan, selain turut memasangnya di kawasan berdekatan bagi mengelak berlaku lagi runtuhan," katanya kepada pemberita di sini.
Tanah Mendap | Diarah pindah atas faktor keselamatan
BACA: Pernah mengadu bimbang tanah mendap namun tiada tindakan - Peniaga
BACA: 'Pergerakan tanah berlaku begitu pantas' - Saksi
Johary berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama MBSJ bagi memutuskan langkah penyelesaian jangka masa panjang berhubung kejadian tanah mendap itu.
"Ini merupakan kejadian kedua melibatkan tanah mendap di kawasan sama dan kami memandang serius perkara ini dengan mengenal pasti punca sebenar," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A A. Anbalagan berkata, 26 pemilik premis peniagaan di kawasan berhampiran diarah menghentikan sementara perniagaan sebagai langkah keselamatan.
"Beberapa penduduk yang menetap di bahagian atas premis berkenaan juga dilihat mula berpindah sejak semalam," katanya.
Tinjauan Bernama mendapati beberapa anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan pemantauan, selain polis turut memperluaskan pemasangan tali kuning bagi mengelakkan orang awam menghampiri kawasan berkenaan.
Dalam kejadian pada pukul 6.38 petang semalam, dilaporkan lima kenderaan yang diletakkan di Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana, Serdang, mengalami kerosakan akibat mendapan tanah di kawasan itu. - BERNAMA
#tanah mendap #Equine Park #Seri Kembangan #pergerakan tanah
;