Tanah kita, masa depan kita
Kenyataan Media
Jun 5, 2024 09:15 MYT
Jun 5, 2024 09:15 MYT
HARI ini, sempena Hari Alam Sekitar Sedunia, kami bersatu di bawah tema global "Tanah Kita, Masa Depan Kita" dalam menyorot isu-isu penting alam sekitar seperti pemulihan tanah, desertifikasi (penggurunan) dan ketahanan tanah ketika kemarau, misalnya.
Dalam menghadapi pelbagai cabaran ini, kita menyedari bahawa walaupun manusia tidak mampu mengubah masa lalu, namun kita mempunyai “kuasa” untuk menanam semula hutan, memulihkan sumber air serta menyuburkan semula tanah kita – untuk masa depan.
Di Institut Masa Depan Malaysia (MASA), kami komited dalam memperkasa kelestarian alam sekitar sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030). Wawasan yang selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ini menekankan keperluan penting bagi pembangunan ekonomi yang seimbang dan mampan dalam memastikan kekayaan dinikmati bersama oleh semua rakyat Malaysia.
Salah satu aspek penting visi ini adalah menjaga dan mengurus sumber asli dan alam sekitar secara berkesan dan mampan.
WKB2030 memfokuskan kepada keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan perlindungan alam sekitar. Sebagai komitmen kepada visi ini, kami berusaha untuk mempromosi dasar dan amalan pengurusan tanah secara mampan, yang tidak hanya memelihara landskap semula jadi, tetapi juga menyokong kehidupan masyarakat setempat.
Dari perspektif Islam, penjagaan alam sekitar merupakan prinsip asas yang menekankan elemen pencegahan, pemeliharaan, dan pemuliharaan. Islam menekankan kepentingan iman, akhlak dan etika dalam interaksi kita dengan alam sekitar. Al-Quran dan Hadith menekankan perlunya melindungi dan memelihara bumi sebelum terlambat serta penekanan terhadap tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi ini.
Hari ini, kita berada di satu persimpangan yang amat penting. Tindakan yang kita ambil sekarang bakal menentukan keadaan alam sekitar untuk generasi akan datang.
Dengan mengamalkan amalan mampan dan inovasi, kita akan berupaya memulihkan kerosakan yang telah berlaku pada alam sekitar kita. Kita merupakan generasi yang bertanggungjawab terhadap bumi kita atau yang disebut #GenerationRestoration.
Dalam usaha ini, MASA terlibat secara aktif dalam inisiatif dasar untuk memulihkan tanah terdegradasi impak dari aktiviti Pembangunan dan menggalakkan penggunaan sumber asli secara mampan.
Baru-baru ini, laporan MASA yang menilai dengan teliti impak pelbagai aspek Projek Penambakan Selatan Pulau Pinang (PSI) terhadap hak ekonomi, sosial dan budaya masyarakat pesisir pantai, telah mendapat tempat dalam Laporan Berkala Sejagat Pusingan Ke-4 (UPR4) Malaysia dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC).
Kegusaran MASA bukan sahaja melihat kepada cabaran getir masyarakat pesisir pantai yang rata-ratanya merupakan nelayan, tetapi juga mengenengahkan hak dan isu yang dihadapi mereka dalam wacana mengenai “pembangunan” yang lebih luas. Dalam membincangkan pemasalahan ini, MASA menjadi badan pemikir pertama di negara ini yang telah mengemukakan laporan sedemikian di UNHRC.
Di bawah Perkara 113 Laporan UNHRC baru-baru ini, iaitu “Pembangunan Alam Sekitar, Perniagaan dan Hak Asasi Manusia,” kebimbangan MASA mengenai kesan projek mega akibat dari aktiviti tebus guna tanah (penambakan laut) dan kurangnya perundingan awam dalam proses membuat keputusan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, telah berjaya diketengahkan.
Pengiktirafan sedemikian menandakan pentingnya peranan MASA dalam mempengaruhi perbincangan dasar dalam usaha menyokong proses membuat Keputusan yang lebih inklusif melalui platform antarabangsa.
Usaha ini penting dan perlu dilaksanakan secara berterusan untuk mencapai matlamat yang terkandung dalam WKB2030 serta memastikan masa depan yang lestari bagi semua rakyat Malaysia.
Justeru, dalam kita menyambut Hari Alam Sekitar Sedunia ini, komitmen kita untuk melindungi dan memulihkan alam sekitar perlu diperkukuh. Hanya dengan usaha secara bersama, kita dapat memastikan "Tanah Kita, Masa Depan Kita" membuahkan limpahan kekayaan semulajadi dan ketahanan alam sekitar buat Malaysia demi kemakmuran bersama semua lapisan rakyat negara ini.
Azril Mohd Amin
Ketua Pegawai Eksekutif MASA