Tanah kebun kontroversi berstatus rizab kerajaan, tidak wujud elemen aniaya - ADUN

Nazialita Geynna Maharan
Januari 23, 2018 07:20 MYT
Salmiah (kiri) tidak setuju apabila ada pihak bertindak menebang pokok-pokok tanaman arwah ayahnya tanpa memaklumkannya terlebih dahulu. - Astro AWANI/NAZIALITA MAHARAN
Sebelum ini, kisah mengenai seorang penduduk Kampung Pahit, dekat sini yang mendakwa kebun diusahakan arwah ayahnya dimusnahkan pihak tertentu telah membawa pelbagai reaksi orang ramai.
Salmiah Abdullah, 37 tahun, ketika dihubungi Astro AWANI mengakui meskipun tanah itu tidak dimiliki secara mutlak namun arwah bapanya, Abdullah Omar, merupakan antara peneroka awal di kawasan itu yang telah mengusahakannya sejak puluhan tahun.
Namun, wanita tersebut mendakwa dia berasa cukup sebak apabila ada pihak bertindak menebang pokok-pokok tanaman arwah ayahnya tanpa memaklumkannya terlebih dahulu.
Justeru, Astro AWANI telah mendapatkan komen daripada beberapa pihak berwajib yang diyakini cukup sesuai untuk tampil memberi penerangan isu yang melibatkan penduduk setempat serta kes pemilikan tanah ini.
Ketua Kampung Klian Intan, Zelnor Jusoh, ketika ditemui menafikan dakwaan bahawa dia tidak pernah bertindak menghubungi keluarga Salmiah sebelum kerja “mencuci” kawasan tersebut dilaksanakan.
Dia sudah bertemu kakak Salmiah dan semuanya berjalan dengan baik, katanya, malah keluarga terbabit bersetuju membenarkan tanah di kawasan tersebut ditolak bagi tujuan membina jalan ke atas bukit.
Sebagai ketua kampung, Zelnor berasa kesal dengan dakwaan Salmiah seolah-olah langsung tiada usaha dibuat untuk berhubung dengan ahli keluarga tersebut.
Tegasnya, dia tidak pernah berniat untuk menganiayai keluarga Salmiah yang memang amat dikenalinya itu.
Zelnor berkata, beliau juga pernah mengesahkan status sebuah rumah usang yang terletak dalam kawasan tanah yang diusahakan arwah Abdullah.
"Pihak pejabat tanah hendak gunakan tanah itu untuk buat jalan untuk Felcra. Sudah diluluskan. Saya minta, kalau ada apa-apa, boleh kita berbincang. Pada mulanya, dia setuju, sebab rumah lama ayahnya sudah jadi sarang penagih dadah dan disahkan sendiri oleh OCS.
"Kemudian, saya berjumpa dengan dia (ipar), kita tunggu sebulan dan tiada respons apa-apa. Kita mengganggap dia bersetuju dengan hak asal, mengatakan kita bukan nak ambil tanah dia, kita nak buat jalan untuk Felcra dan kita minimumkan pokok dia. Seboleh mungkin, kita larikan pokok dia," kata Zelnor.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu Datuk Aznel Ibrahim berkata, pihaknya bersedia mencari jalan supaya satu kaedah alternatif dapat dicapai bagi menyelesaikan isu tanah kebun yang didakwa ditebang tanpa kebenaran itu.
Katanya, siasatan terperinci mendapati terdapat percanggahan maklumat dalam laporan Salmiah mengenai status permohonannya berhubung hal pemilikan geran tanah.
Aznel menegaskan, pihak Pejabat Tanah dan Daerah juga telah memeriksa nama pengadu dalam senarai permohonan geran tanah di kawasan berkenaan dan tidak menemui sebarang rekod.
Menurutnya, tanah yang dipersoalkan itu berstatus Tanah Kerajaan bagi tujuan laluan simpanan awam untuk menghubungkan Klian Intan ke Rancangan Tanah Pertanian Berkelompok (RPB) Wilayah Sungai Kepayang, Kampung Pahit 2.
"Cadangan saya, pengadu ini juga layak untuk memohon jadi peserta rancangan pertanian berkelompok wilayah Sungai Kepayang Dua, Kampung Pahit Dua, kerana kita akan mempertimbangkan semua nama untuk dijadikan peserta untuk RTB yang sedang dilaksanakan," katanya lagi.
Tegasnya, sebelum ini, Pejabat Tanah dan Daerah Pengkalan Hulu sebenarnya telah memberi ruang dan peluang untuk mereka mengutip hasil daripada pokok-pokok yang ditanam atas tanah kerajaan.
Menurut Aznel, rekod menunjukkan tiada permohonan dibuat oleh mana-mana individu bagi kawasan tersebut.
#Astro Awani #Kampung Pahit #kerajaan #Pengkalan Hulu #rumah #siasatan #tebang pokok
;