Tanah jerlus Masjid India: Tidak putus asa, SAR diteruskan hari kelapan
Faida Rahim
Ogos 30, 2024 09:45 MYT
Ogos 30, 2024 09:45 MYT
KUALA LUMPUR: Hari ini masuk hari kelapan operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India pagi Jumaat 23 Ogos lalu.
Tinjauan AWANI mendapati, pasukan SAR masih bersemangat meneruskan usaha pencarian sementara lokasi kejadian tampak lengang dengan dikawal ketat pihak polis bagi menghalang orang ramai mendekati kawasan sekitar.
Pada masa sama, sebuah kedai runcit yang terletak berhadapan lokasi tanah jerlus itu kelihatan meneruskan perniagaan seperti biasa sambil kebanyakan premis perniagaan lain tidak beroperasi.
Difahamkan, aliran pengunjung ke kawasan perniagaan ini yang biasanya sarat dengan orang ramai, sangat sedikit sejak insiden itu.
Sekitar jam 2 pagi tadi, pasukan penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan tugas di salur kumbahan di lokasi kejadian susulan operasi sebelum ini mengesan objek yang tersekat di antara lokasi tanah jerlus dan lurang kumbahan kedua.
Namun, dua penyelam JBPM itu berdepan cabaran arus kuat dalam lurang kumbahan tersebut, menyebabkan mereka tidak sampai ke lokasi objek dilaporkan tersekat.
Pasukan SAR mengesan satu timbunan atau 'backlog' sepanjang 15 meter di lurang kumbahan di Wisma Yakin, kira-kira 44 meter dari lokasi utama kejadian, hasil dua ujian pelepasan tong air yang dijalankan pada hari pertama dan kedua di lokasi berkenaan.
Operasi SAR ditangguhkan seketika pada jam 5 pagi tadi dan disambung semula pukul 9.30 pagi ini.
Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, tiada keperluan untuk mengisytiharkan kawasan Masjid India sebagai zon tidak selamat dan bencana.
Menurutnya, untuk mengisytiharkan sesuatu kawasan itu selamat atau tidak, polis perlu mendapatkan kebenaran khas daripada Majlis Keselamatan Negara.
Insiden tanah jerlus pada Jumaat lepas menyaksikan seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48 tahun, dari Kuppam, Andhra Pradesh, India, hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter.