Tanah jerlus Masjid India: 'Terima kasih kerajaan Malaysia, petugas SAR' - Keluarga
Umavathi Ramayah
September 6, 2024 17:20 MYT
September 6, 2024 17:20 MYT
KUALA LUMPUR: Anggota keluarga G Vijaya Lakshmi, warga India yang hilang dalam kejadian tanah jerlus Jalan Masjid India merakamkan ucapan berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang bertungkus lumus untuk menjejakinya.
Ringkasan AI
- Penghargaan Keluarga: Keluarga G Vijaya Lakshmi mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan pasukan penyelamat atas usaha gigih mereka dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India.
- Kepuasan Terhadap Operasi SAR: Keluarga mangsa berpuas hati dengan langkah-langkah pantas dan teliti yang diambil oleh kerajaan Malaysia sepanjang operasi SAR, serta penerangan yang diberikan mengenai setiap tindakan yang diambil.
- Penamatan Operasi SAR: Operasi SAR dihentikan selepas sembilan hari atas faktor keselamatan, termasuk risiko kepada anggota penyelamat dan keadaan di lokasi kejadian yang semakin tidak stabil akibat kejadian tanah jerlus susulan.
"Kami sekeluarga berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan pasukan penyelamat yang bertungkus lumus dengan sepenuh hati terlibat dalam operasi pencarian," kata ahli keluarga G Vijaya Lakshmi.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif ketika dihubungi Astro AWANI memberitahu, perkara itu diluahkan suami mangsa, Mathavan, 49, dan anak lelakinya, M Suria, 25, kepada kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika mereka dihantar pulang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk berlepas ke India, pada 1 September lalu.
Menurutnya lagi, keluarga mangsa juga berpuas hati dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan langkah-langkah pantas yang diambil kerajaan Malaysia.
"Mereka berada di lokasi sepanjang SAR dan memantau secara dekat semua pergerakan petugas.
"Malah mereka juga diberi penerangan mengenai setiap pergerakan dan tindakan kerajaan," katanya di sini pada Jumaat.
Maimunah memberitahu, selain DBKL, pegawai dari Suruhanjaya Tinggi India ke Malaysia turut menghantar mereka pulang di KLIA.
Pada 23 Ogos lalu wanita berusia 48 tahun berasal dari Kuppam, Andhra Pradesh, India itu hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India.
Sembilan hari kemudian, selepas mendapat pandangan daripada sudut pakar, kerajaan memutuskan untuk menamatkan SAR.
Keputusan untuk menghentikan operasi SAR dibuat atas beberapa faktor termasuk isu keselamatan membabitkan anggota SAR, selain faktor keselamatan semasa di lokasi susulan beberapa kejadian tanah jerlus susulan yang berlaku akhir-akhir ini.