Tanah jerlus Masjid India: ‘Takut bila ingat kejadian semalam’ - Peniaga
Faida Rahim
Ogos 24, 2024 13:25 MYT
Ogos 24, 2024 13:25 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang pemilik kedai berhadapan lokasi insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini, Al Amin Abdul Kassim memaklumkan dia bimbang dengan keselamatan para peniaga di sekitar kawasan tersebut.
Al-Amin memaklumkan, dia berasa takut apabila mengingati kembali insiden tragis semalam.
“Allah, memang takut sangatlah. Takut ingat kejadian semalam. Takut dia beri kesan kepada kita, bangunan sebelah ke, kalau jatuh sini, lagi susah.
“Di sini kawasan orang ramai lalu lalang, semalam hari Jumaat. Orang minta sedekah sini ramai. Tambahan orang beri nasi di kawasan dekat sini.
“Terlalu ramai, nasib baik Allah selamatkan semua di sini. Kalau tidak, ramai lagi terkesan dengan kejadian itu,” katanya ketika ditemui hari ini.
Jelasnya, kejadian serupa pernah berlaku pada tahun 2018 apabila seorang pejalan kaki jatuh pada kedalaman dua meter.
“Cuma kejadian sebelum itu, jatuh dua meter. Dulu dekat sikit cuma kali ini kerusi batu pun jatuh sekali,” katanya.
Ketika ditanya sama ada dia sudah menerima sebarang notis daripada pihak berkuasa untuk menutup kedai, Al Amin memaklumkaan tiada sebarang notis diterima setakat ini.
“Belum ada notis daripada pihak berkuasa untuk tutup kedai ini setakat ini. Setakat ini kita selamat, kalau apa apa notis, terpaksa tutup.
“Perniagaan terkesan juga, sebab ramai yang tidak buka hari ini. Kami pun tunggu walk in customer sahaja, tidak ada pelanggan tetap. Kita money changer (pengurup wang) tak boleh panggil-panggil orang,” katanya.
Sementara itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga India dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur diteruskan pada Sabtu.
Kelihatan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berada di lokasi seawal jam 8 pagi.
#tanah jerlus masjid india
#peniaga terkesan
#DBKL
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#operasi mencari dan menyelamat