Tanah jerlus Masjid India: Premis perniagaan tidak beroperasi

Sinar Harian
Ogos 25, 2024 17:45 MYT
Antara kedai berhampiran lokasi kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India tidak beroperasi pada Ahad. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Premis perniagaan di sekitar lokasi kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini, masih ditutup susulan arahan pihak berkuasa yang terlibat dalam operasi pencarian dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang terjatuh pada Jumaat lalu.
Tinjauan di lokasi kejadian mendapati hampir kesemua premis perniagaan Malayan Mansion di sini tidak beroperasi.
Bagaimanapun, terdapat dua premis iaitu kedai runcit dan kedai fotostat beroperasi untuk penghuni yang menginap di rumah kedai terbabit.
Peniaga kedai runcit dikenali sebagai Vel, 42, berkata, kawasan terbabit kebiasaannya dikunjungi pelancong terutama warga India, namun lengang sejak kejadian berkenaan.
“Selalunya sini ramai orang, namun sejak insiden itu kawasan ini sangat suram dan hanya dilalui penghuni yang duduk di sini.
“Kedai (runcit) agak terkesan kerana jualan agak perlahan, namun saya mengambil keputusan untuk buka kerana ada permintaan daripada penghuni,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, pada Ahad.
Bagaimanapun, suasana berbeza berhampiran bangunan Malayan Mansion apabila aktiviti perniagaan berjalan seperti biasa, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku di kawasan ini.
Orang ramai dilihat masih meneruskan aktiviti membeli barangan di pusat perniagaan berhampiran iaitu bahagian belakang Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Tinjauan turut mendapati kawasan berhampiran Masjid India di sini dipenuhi pengunjung yang turut meninjau lokasi kejadian.
Operasi SAR membabitkan agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Indah Water Konsortium (IWK).
Setakat jam 1.45 petang, SAR dijalankan di dua lurang kumbahan di Jalan Melayu dan di persimpangan Jalan Melayu sehingga ke Pantai Dalam dekat sini.
Anak lelaki mangsa yang dikenali sebagai Surya, 26, dan bapanya masih menunggu perkembangan terkini daripada pasukan SAR sejak jam 8 pagi Ahad.
Pada Jumaat lalu, media melaporkan mangsa merupakan seorang pelancong dari India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dikhuatiri tertimbus dalam kejadian pada 8.22 pagi itu.
Pasukan SAR turut menemukan selipar dipercayai milik wanita warga India terbabit pada hari pertama pencarian. - Sinar Harian
#tanah jerlus #Masjid India #peniaga tutup kedai #jalan tar