Tanah jerlus Masjid India: Pencarian guna 'push rod', kamera 'crawler' masih belum temui mangsa - DBKL

Madiha Abdullah, Afiezy Azaman
Ogos 27, 2024 12:49 MYT
Pencarian di lokasi menggunakan 'push rod' dan kamera 'crawler' dimulakan petang Isnin hingga awal pagi Selasa. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pencarian pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di lurang kumbahan satu hingga lurang kumbahan di hadapan Wisma Yakin bagi mengesan wanita yang hilang akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India, setakat ini tidak menemui sebarang petunjuk.
Unit Media Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berkata, pencarian di lokasi berkenaan menggunakan 'push rod' dan kamera 'crawler' itu dimulakan petang Isnin hingga awal pagi Selasa.
"Pasukan SAR telah melaksanakan kerja jetting dan pemeriksaan saluran paip kumbahan dan lurang kumbahan sehingga jam 6.30 pagi tadi.
"Kerja jetting bagi memecahkan serpihan berjaya bagi mengeluarkan sebarang halangan.
"Namun pemeriksaan menggunakan push rod & kamera 'crawler' di lurang satu ke lurang di hadapan Wisma Yakin bagi mengesan kebarangkalian lokasi mangsa adalah negatif," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Kenyataan itu menambah, Pasukan SAR akan meneruskan kerja-kerja di kawasan titik terakhir di Loji Pantai Dalam dengan meneruskan kerja-kerja 'flushing' dan pemeriksaan fizikal ke setiap ruang yang ada kemungkinan mangsa terperangkap.
Pada Isnin, media melaporkan pasukan SAR menggunakan teknik 'jetting' atau penyemburan tekanan air yang tinggi untuk memecahkan objek keras yang berada dalam paip pembetungan di lokasi kejadian.
Difahamkan, alat ground-penetrating radar (GPR) akan digunakan dalam usaha mencari mangsa hari ini.
BACA: Tanah jerlus Masjid India: Alat ‘ground penetrating radar’ akan digunakan dalam SAR
Media bagaimanapun belum dapat mendapat pengesahan tentang pihak yang akan mengendalikannya.
Operasi SAR sudah memasuki hari kelima dan setakat ini masih tiada petunjuk yang boleh membawa kepada penemuan mangsa.
Jumaat lalu, seorang wanita warga India berusia 48 tahun dikenali sebagai Vijayaletchumy dilaporkan hilang selepas menjadi mangsa tanah jerlus sedalam kira-kira lapan meter di Jalan Masjid India.
#tanah jerlus #Masjid India #teknik jetting #GPR
;