Tanah jerlus Masjid India: Pasukan SAR pam keluar air saluran kumbahan

Faida Rahim
Ogos 25, 2024 15:30 MYT
Proses pengepaman air di loji berkenaan yang bermula tengah hari tadi adalah sebahagian daripada kaedah operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang hilang sejak Jumaat lalu. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini mengepam keluar air saluran kumbahan di Indah Water Konsortium (IWK) Kuala Lumpur di Pantai Dalam, dalam usaha mencari mangsa tanah jerlus di Masjid India.
Jurucakap JBPM berkata, proses pengepaman air di loji berkenaan yang bermula tengah hari tadi adalah sebahagian daripada kaedah operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang hilang sejak Jumaat lalu.
“Sekarang kami sedang pam air keluar, selepas itu baru anggota kami dapat memasuki lurang kumbahan (manhole) yang mencabar,” katanya di sini, hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman memaklumkan operasi pencarian mangsa kejadian tanah jerlus itu memfokuskan kepada enam lurang kumbahan di hadapan Wisma Yakin selain Jalan Melayu, persimpangan Jalan Melayu, Dataran Merdeka, Bank Pertanian berhampiran Lebuh Pasar dan Jalan Kinabalu.
Operasi SAR hari ketiga hari ini pula memberi tumpuan di dua lurang kumbahan di Jalan Melayu dan persimpangan Jalan Melayu.
Operasi SAR membabitkan agensi seperti JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan IWK.
Jumaat lalu, seorang wanita warga India berusia 48 tahun dikenali Vijayaletchumy dilaporkan hilang selepas menjadi mangsa tanah jerlus sedalam kira-kira lapan meter.
#tanah jerlus #Masjid India #IWK #saluran kumbahan