KUALA LUMPUR: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam kejadian tanah jerlus di Masjid India, di sini mengunakan pelbagai teknik pencarian termasuk menghantar botol ke ke titik terakhir di loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam.


Ringkasan AI
  • Teknik Pencarian: Pasukan SAR menggunakan pelbagai teknik, termasuk menghantar botol ke titik terakhir di loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam.
  • Jarak Perjalanan: Objek yang hilang mampu sampai ke lokasi berkenaan dalam tempoh empat jam, dengan perjalanan sejauh 5.3 hingga enam kilometer dari lokasi kejadian tanah jerlus ke loji IWK di Pantai Dalam.
  • Keselamatan: Pencarian melibatkan lebih 100 anggota daripada pelbagai agensi berkuasa, dan tahap keselamatan di kawasan Masjid India telah diperiksa oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).


Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, hasil ujian yang dilakukan pasukan SAR mendapati objek berkenaan mampu sampai ke lokasi berkenaan dalam tempoh empat jam.

"Kalau mengikut aliran air, 'perjalanan' sejauh 5.3 hingga enam kilometer dari lokasi kejadian tanah jerlus ke loji IWK di Pantai Dalam mengambil masa kira-kira empat jam,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.

Beliau sebelum itu meninjau lokasi tanah jerlus di Masjid India, di sini kira-kira pukul 3.30 petang.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, berdasarkan maklumat, mangsa yang dikenali sebagai Vijayaletchumy itu berkemungkinan terjatuh dalam kedalaman 10 meter.

"Macam-macam kita (pasukan SAR) lakukan dalam lurang kumbahan termasuk menggunakan teknologi kamera.

"Pada hari ini juga, Agensi Nuklear Malaysia dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) untuk melakukan imbasan di lokasi," ujarnya.

[TERKINI] Tanah jerlus: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain


Dalam pada itu, beliau berkata, pencarian pada hari kelima ini melibatkan lebih 100 keanggotaan daripada pelbagai agensi berkuasa.

Ditanya mengenai tahap keselamatan di sekitar kawasan Masjid India, Razarudin memaklumkan orang ramai tidak perlu bimbang.

"Ujian sudah dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan JMG, setakat ini tak perlu (bimbang), nampak menakutkan tapi tak begitu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 8.10, Jumaat lalu, seorang wanita warga India berusia 48 tahun dilaporkan hilang selepas menjadi mangsa tanah jerlus sedalam kira-kira  di Jalan Masjid India, di sini.