Tanah jerlus Masjid India: Pasukan SAR guna teknik ‘flushing’ cari mangsa

Hasimi Muhamad
Ogos 25, 2024 19:10 MYT
Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm) melakukan kerja-kerja pembersihan selepas operasi SAR wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Pihak Indah Water Konsortium (IWK) akan menjalankan kerja-kerja ‘flushing’ (pembilasan) saluran kumbahan di hiliran dalam usaha pencarian wanita warga India yang terjatuh akibat tanah jerlus di Masjid India, di sini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Sharif berkata IWK telah mempunyai peta saluran yang lengkap dan bersetuju untuk menjalankan ujian integriti di kawasan terlibat.
“Saya telah mempengerusikan mesyuarat penyelarasan bersama agensi sahabat sebentar tadi dan berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi, situasi sekitar Jalan Masjid India khasnya dan Kuala Lumpur amnya adalah terkawal, selamat untuk dikunjungi dan warga kota boleh meneruskan rutin
harian seperti biasa,” ujarnya dalam sidang media di lokasi kejadian pada Ahad.
Hadir sama Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata teknik 'flushing' terbaharu dalam operasi SAR itu masih dalam perancangan dan dijangka dilakukan hari ini.
“Kami akan menahan air… paras air akan naik dan kita buka, ia akan tolak balik (lepaskan air),” katanya lagi.
Pada Jumaat lalu, seorang wanita warga India berusia 48 tahun dikenali Vijayaletchumy dilaporkan terjatuh ke dalam tanah jerlus sedalam kira-kira lapan meter di Jalan Masjid India dan hilang sehingga hari ini.
#tanah jerlus #IWK #operasi sar #teknik flushing