Tanah jerlus Masjid India: Pasukan SAR buka lurang di Wisma Yakin

Hasimi Muhamad
Ogos 26, 2024 10:50 MYT
Pasukan SAR turut dilihat memakai tali, dipercayai untuk turun ke kawasan berkenaan. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang terjatuh dalam insiden tanah jerlus di Masjid India, dilihat membuka satu lurang kumbahan berdekatan Wisma Yakin, di sini pagi ini.
Berdasarkan pemerhatian, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) melakukan proses tersebut sekitar pukul 9.45 pagi, dengan jarak dari lokasi kejadian kira-kira 50 meter.
Pasukan SAR turut dilihat memakai tali, dipercayai untuk turun ke kawasan berkenaan.
Sebuah kenderaan milik Indah Water Konsortium (IWK) turut berada di lokasi terbabit, dipercayai untuk mengepam keluar air kumbahan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman ketika hadir di lokasi kejadian secara ringkas berkata perkembangan berhubung operasi SAR hari ini akan dimaklumkan dalam sidang media kelak.
Operasi SAR mengesan wanita warga India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, yang terjatuh ke lubang sedalam lapan meter telah memasuki hari keempat hari ini, dengan setakat semalam mangsa masih belum ditemui.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan malam tadi memaklumkan sebanyak dua kali teknik 'flushing' dilaksanakan bagi mencari mangsa.
Kenyataan itu menambah pasukan IWK telah memulakan 'flushing' di lurang kumbahan lima yang terletak berdekatan Agro Bank (Bank Pertanian Lebuh Pasar Besar)
dan mengambil masa sehingga jam 2 pagi Isnin.
Teknik 'flushing' adalah menyekat aliran air di lurang kumbahan dan setelah ia melimpah, sekatan akan dilepas untuk menghasilkan arus aliran air yang deras.
Enam lurang kumbahan yang telah dilakukan operasi pencarian adalah di Wisma Yakin, Jalan Melayu, persimpangan Jalan Melayu, Dataran Merdeka, Bank Pertanian Lebuh Pasar Besar serta Bulatan Kinabalu.
#tanah jerlus #Masjid India #lurang #SAR
;