Tanah jerlus Masjid India: Pasukan penyelamat buka enam 'manhole' untuk cari mangsa
Ridauddin Daud
Ogos 24, 2024 13:15 MYT
Ogos 24, 2024 13:15 MYT
KUALA LUMPUR: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) membuka enam lurang kumbahan (manhole) bagi mencari wanita warga India yang terlibat dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, ‘manhole’ pertama dibuka di lokasi kejadian dan yang kedua di hadapan Wisma Yakin, terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.
Menurutnya, lokasi ‘manhole’ yang lain adalah di Jalan Melayu, Dataran Merdeka, Bank Pertanian di Lebuh Pasar dan Jalan Kinabalu.
Tambah beliau, lurang kumbahan di hadapan Wisma Yakin dibuka pada 10.30 pagi tadi namun pasukan penyelamat tidak menemui mangsa atau sebarang petunjuk baharu bagi membantu operasi pencarian.
"Operasi mencari mangsa di ‘manhole’ ini dijalankan secara berperingkat, tidak bergerak serentak kerana risiko nyawa kepada anggota penyelamat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat lokasi kejadian di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata kawasan sekitar Jalan Masjid India masih selamat untuk dikunjungi.
“Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur dan Datuk Bandar Kuala Lumpur berkata setakat ini kawasan sekitar ini selamat untuk dikunjungi.
“Dalam masa sama, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menjalankan kajian bagi mengukur struktur tanah di kawasan ini," katanya.
Ketika ditanya adakah pasukan SAR akan menggunakan khidmat unit anjing pengesan (K9), beliau berkata pasukan sudah menggunakan haiwan tersebut pada Jumaat namun tidak mendapat petunjuk.
“Setakat ini kita gunakan segala kepakaran dan teknologi yang kita ada. Kita juga ada mendapat bantuan daripada agensi yang lain.
“Sekiranya ada keperluan untuk kita menggunakan teknologi lain, kita akan pertimbangkan setelah perbincangan dibuat,” ujarnya.
Astro AWANI semalam melaporkan insiden pada 8.20 pagi Jumaat itu menyaksikan Jayaletchumy, 48, tiba-tiba terjerlus ke lubang sedalam lapan meter.
Kejadian itu berlaku ketika dia dan keluarga berjalan bersama di hadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India menghala ke Wisma Yakin.
Operasi SAR selama 17 jam pada Jumaat hanya menemukan sepasang selipar milik mangsa berhampiran lokasi kejadian.