Tanah jerlus Masjid India: Operasi tak terjejas, peniaga boleh berniaga seperti biasa - Datuk Bandar KL

Hasimi Muhamad
Ogos 23, 2024 22:34 MYT
Pihak DBKL dan agensi berkaitan sentiasa memantau lokasi sekitar bagi mengelakkan insiden sama berulang. - Bernama
KUALA LUMPUR : Para peniaga di sekitar Masjid India, di sini boleh menjalankan operasi perniagaan seperti biasa di sebalik insiden tanah jerlus yang mengakibatkan wanita warga India terbenam dan masih hilang, setakat ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata, pihaknya dan agensi berkaitan sentiasa memantau lokasi sekitar bagi mengelakkan insiden sama berulang.
“Kerana kawasan ini seperti yang dimaklumkan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) adalah selamat.
“Kita tidak berhasrat untuk menutup atau sebagainya. Perniagaan boleh beroperasi seperti biasa,” katanya dalam sidang media selepas hadir meninjau lokasi tanah jerlus di sini pada Jumaat malam.
Mengulas lanjut, Maimunah berkata, DBKL telah menempatkan sekurang-kurangnya 40 anggota untuk membantu pihak berkuasa berkaitan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang berusia 48 tahun.
Katanya, pihak Air Selangor juga telah menutup bekalan air di kawasan lokasi kejadian bagi memudahkan operasi SAR mangsa.
“DBKL juga telah membuat semakan jajaran utiliti bawah tanah di kawasan yang terlibat ini, dan mendapati adanya laluan paip kumbahan bersaiz 1.5 diameter di lokasi terbabit.
“Pihak Indah Water Konsortium (IWK) juga berada di tapak (kejadian) untuk membantu DBKL, JBPM dan polis,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga mangsa dan memberi jaminan akan menyediakan keperluan berkaitan bagi meringankan beban keluarga sepanjang operasi SAR digerakkan.
Difahamkan, mangsa bersama beberapa ahli keluarga datang melancong ke Malaysia sejak hampir dua bulan lalu dan bercadang untuk terbang pulang ke India esok.
Dalam insiden pada pagi tadi, mangsa terjatuh selepas berlaku tanah jerlus, dengan kedalaman kira-kira lapan meter.
#tanah jerlus #Masjid India #peniaga #datuk bandar kl #maimunah mohd sharif