Tanah jerlus Masjid India: Operasi SAR disambung semula pagi ini

Ridauddin Daud
Ogos 24, 2024 11:15 MYT
Kelihatan beberapa anggota pasukan penyelamat tiba di lokasi tanah jerlus Masjid India, Kuala Lumpur, pada Sabtu. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga India dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini, disambung semula pada pagi Sabtu.
Selepas lebih 24 jam operasi dilakukan pasukan penyelamat, mangsa masih belum dijumpai.
Operasi SAR terpaksa ditangguhkan pada 12.30 tengah malam Jumaat kerana hujan lebat dan persekitaran
gelap yang memberi kesukaran kepada usaha mencari mangsa.
Tinjauan di lokasi kejadian mendapati puluhan anggota polis, anggota Bomba dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah berada di lokasi sedang bersiap untuk meneruskan kerja-kerja pencarian.
Astro AWANI pada Jumaat melaporkan insiden pada 8.20 pagi Jumaat itu menyaksikan Jayaletchumy, 48, tiba-tiba terjerlus ke lubang sedalam lapan meter.
Kejadian itu berlaku ketika dia dan keluarga berjalan bersama keluarganya di hadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India menghala ke Wisma Yakin.
Operasi SAR selama 17 jam pada Jumaat hanya menemukan sepasang selipar milik mangsa berhampiran lokasi kejadian.
Setakat ini, operasi tertumpu kepada mencari mangsa yang berkemungkinan sudah hanyut dibawa arus deras.
Dalam pada itu, operasi perniagaan di sekitar kawasan tersebut dilihat berjalan seperti biasa.
Cuma beberapa kedai yang berada betul-betul hampir dengan lokasi kejadian dilihat tidak dibuka, dengan pita garisan polis dipasang di hadapan kedai mereka.
#tanah jerlus #Masjid India #warga India hilang #operasi sar