Tanah jerlus Masjid India: Operasi SAR di loji IWK Pantai Dalam ditangguh

Madiha Abdullah
Ogos 27, 2024 18:14 MYT
Pihak IWK dan pasukan bomba dilihat melakukan perbincangan dan persiapan bagi membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India minggu lalu. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat di loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam, ditangguhkan ke pagi esok.
Berdasarkan tinjauan Astro AWANI, tidak banyak pergerakan dirakam petang ini di loji tersebut.
Pihak IWK dan pasukan bomba dilihat melakukan perbincangan dan persiapan bagi membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India minggu lalu.
Sumber memberitahu, kerja-kerja SAR di IWK Pantai Dalam akan bermula selepas mendapat isyarat dari pasukan di Jalan Masjid India.
Namun, semua kerja-kerja dihentikan tepat jam 6 petang dan akan bersambung esok.
Dalam kejadian pada pagi Jumaat lalu, mangsa dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang dipercayai terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.
Pasukan SAR pada Selasa meneruskan kerja-kerja di kawasan end point di loji Pantai Dalam dengan meneruskan kerja-kerja flushing dan pemeriksaan fizikal ke setiap ruang yang ada kemungkinan mangsa terperangkap.
Alat ground-penetrating radar (GPR) turut digunakan dalam usaha mencari mangsa hari ini.
#tanah jerlus #Masjid India #IWK Pantai Dalam #operasi mencari dan menyelamat