Tanah jerlus Masjid India: Operasi SAR bersambung pagi ini

Bernama
Ogos 28, 2024 09:40 MYT
Anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini bersambung semula pagi ini selepas ditangguhkan pada 7.30 petang semalam, ekoran hujan lebat.
Tinjauan Bernama di lokasi pada 8 pagi mendapati pasukan SAR terdiri daripada polis, bomba, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Angkatan Pertahanan Awam sudah berada di lokasi kejadian.
Operasi SAR yang masuk hari keenam hari ini difahamkan akan bermula dengan perbincangan antara lain berkaitan teknik, kaedah dan penugasan selain kerja survei oleh Jabatan Mineral dan Geosains melibatkan lokasi dari pintu gerbang Masjid India ke hadapan kawasan masjid.
Tinjauan juga mendapati kawasan sekitar lokasi lengang kerana pihak berkuasa melarang orang ramai berada berhampiran lokasi operasi SAR.
Pada Jumaat lepas, seorang wanita warga India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India semasa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.
Operasi SAR diaktifkan pada hari sama melibatkan anggota daripada pelbagai pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan yang telah menggunakan pelbagai teknik termasuk penggunaan anjing pengesan.
-- BERNAMA
#tanah jerlus #Masjid India #SAR #Sambung