Tanah jerlus Masjid India: Operasi cari mangsa ditangguh ekoran hujan lebat

Umavathi Ramayah
Ogos 27, 2024 22:02 MYT
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberitahu, operasi SAR yang ditangguh pada pukul 7.30 petang itu akan disambung pada esok. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini ditangguh sementara, ekoran hujan lebat.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberitahu, operasi SAR yang ditangguh pada pukul 7.30 petang itu akan disambung pada esok.
“Sementara itu, kerja-kerja tinjauan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) yang bermula dari pintu gerbang Masjid India ke hadapan kawasan masjid di mana meliputi kawasan berjarak 65 meter akan juga disambung esok (Rabu),” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, DBKL memberitahu, pasukan SAR juga sedang memecahkan dinding atas manhole di lokasi kejadian untuk mendapatkan jarak penglihatan yang lebih jelas.
Pada masa sama, kata DBKL, kerja-kerja pencarian melalui kaedah Ground Penetrating Radar (GPR) dijalankan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) di sekitar Masjid India untuk menilai keadaan tanah.
“Sementara kaedah GPR yang sama oleh Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) digunakan di sekitar
kawasan lubang benam,” ujarnya.
Pada Jumaat lalu, mangsa yang dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter susulan insiden mendapan tanah di Jalan Masjid India, di sini.
#tanah jerlus #Masjid India #operasi sar #hujan lebat
;