Tanah jerlus Masjid India: Operasi cari mangsa di IWK Pantai Dalam diteruskan dengan bantuan pakar
Faida Rahim
Ogos 26, 2024 11:40 MYT
Ogos 26, 2024 11:40 MYT
KUALA LUMPUR: Operasi mencari mangsa tanah jerlus di Masjid India yang masuk hari keempat dimulakan pagi ini selepas pencarian di dalam enam lurang kumbahan tidak membuahkan hasil malam tadi.
Tinjauan Astro AWANI di lokasi mendapati meskipun hujan renyai, pengamal media setia menanti perkembangan terkini di loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam, di sini.
Difahamkan, pakar dalam bidang mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (Pertahanan Awam) akan tiba di lokasi sebentar lagi.
Dalam masa sama, sebilangan besar pemandu memperlahankan dan memberhenti kenderaan mereka untuk merakam gambar di kawasan sekitar operasi.
Operasi SAR membabitkan agensi seperti JBPM, Pertahanan Awam, PDRM, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan IWK.
Semalam, enam lurang kumbahan sekitar lokasi SAR di hadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India, di sini, dibuka secara berperingkat setelah usaha mencari mangsa di kawasan dilaporkan mangsa menemui jalan buntu.
Enam lurang kumbahan itu adalah di hadapan Wisma Yakin, Jalan Melayu, persimpangan Jalan Melayu, Dataran Merdeka, Bank Pertanian berhampiran Lebuh Pasar dan Jalan Kinabalu.
Dalam kejadian jam 8.25 pagi pada Jumaat, seorang wanita warga India berusia 48 tahun dikenali Vijayaletchumy dilaporkan hilang selepas menjadi mangsa tanah jerlus sedalam kira-kira lapan meter di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.