KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang melakukan yang terbaik dan mengambil semua tindakan yang perlu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa insiden tanah jerlus warganegara India di Jalan Masjid India.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, komitmen itu dinyatakan kepada Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B.N.Reddy semasa pertemuan mereka di pejabatnya hari ini.

Jelasnya, dalam pertemuan tersebut, beliau memberi makluman terkini mengenai SAR sejak Jumaat lepas.

"Kerajaan Malaysia sedang melakukan yang terbaik untuk mengambil semua tindakan yang perlu," katanya menerusi sebuah kenyataan di Facebook pada Khamis.

Turut hadir, Setiausaha Pertama Suruhanjaya Tinggi India ke Malaysia, Rajesh H Maniyil dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim,

Dalam kejadian pada pagi Jumaat lalu, mangsa dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dipercayai terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Bagaimanapun, setakat ini mangsa masih belum ditemui selepas lebih 72 jam operasi SAR.